MCA menangkis dakwaan bahawa parti itu mengelak daripada bertanding di pilihan raya kecil Bukit Gelugor kerana bimbang aktan tewas di tangan calon DAP Ramkarpal Singh di kawasan berkenaan.
Naib presidennya Chew Mei Fun berkata MCA tidak gentar untuk bertanding melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, apa lagi muka baru seperti Ramkarpal.
Chew berkata, ia bukan satu tindakan "penakut" tetapi lebih kepada satu "strategi".
"Kami tidak gentar dengan Anwar dan Wan Azizah, jadi mengapa kami perlu takut dengan Ramkarpal?," soalnya dalam satu sidang media di Wisma MCA hari ini.
Chew yang tewas di tangan Wan Azizah dalam pilihan raya kecil DUN Kajang berkata, keputusan untuk tidak bertanding di Bukit Gelugor adalah juga keputusan yang "pahit".
MCA sebelum ini mendakwa ia mengelak dari bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut kerana ingin menumpukan pada kontroversi yang timbul mengenai undang-undang hudud dicadangkan PAS.
Tindakan tersebut menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk bekas presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Rampkarpal mengekal kerusi yang disandang mendiang bapanya, Karpal Singh itu apabila menewaskan calon Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan dan dua calon Bebas pada pilihan raya kecil 25 Mei.
