Kanak-kanak 9 tahun dapat gantirugi RM2.78j
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi gantirugi RM2.78 juta kepada seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun dalam satu saman ke atas kerajaan, hospital dan 28 yang lain berhubung kecuaian perubatan kerana didakwa menyebabkan dia mengalami kerosakan otak.
Peguam Manmohan S.Dhillon yang mewakili Nurul Husna Muhammad Hafiz berkata Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan wang itu dibayar kepada ibu bapa kanak-kanak itu Muhammad Hafiz Abd Wasit dan Dr Nor Azalina Mohd Songib yang bertindak sebagai pemegang amanah kanak-kanak itu.
Mahkamah memberi award wang sejumlah itu selepas mendengar testimoni tentang kuantum gantirugi daripada ibu bapa dan tiga pakar perubatan, katanya kepada pemberita.
Manmohan berkata pada 3 September tahun lepas, kerajaan, hospital dan semua defendan mengaku bertanggungjawab atas kecuaian itu.
Beliau berkata RM2.78 juta itu adalah RM345,031.9 untuk gantirugi khas, RM151,330 bagi gantirugi praperbicaraan, RM350,000 bagi gantirugi kesakitan dan penderitaan dan RM1,937,810 bagi gantirugi masa depan.
"Mahkamah memberitahu bahawa kedua-dua ibu bapa bahawa mereka adalah pemegang amanah dan mesti menggunakan wang itu untuk kanak-kanak itu," katanya sambil menambah bahawa mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM213,864 kepada plaintif.
Bapa kanak-kanak itu, Muhammad Hafiz, yang bekerja sebagai pegawai bank, ketika ditanya berhubung keputusan itu berkata beliau berpuas hati dengan kuantum itu dan wang itu akan digunakan untuk menjaga anaknya pada masa depan.
Pada Disember 2012, Nurul Husna memfailkan saman melalui ibu bapanya. Nurul Husna dan ibunya, Dr Nor Azalina tidak hadir di mahkamah hari ini.
Dalam pernyataan tuntutannya Dr Nor Azalina mendakwa Nurul Husna mengalami kerosakan otak yang teruk dan tidak boleh dipulihkan berikutan kecuaian defendan.
Dr Nor Azalina berkata beliau melahirkan Nurul Husna di Hospital Selayang pada 22 Julai 2005.
Dalam saman itu, mereka menamakan kerajaan, 21 doktor dan lapan kakitangan perubatan termasuk jururawat, yang terbabit dalam merawat dan menguruskan
kanak-kanak itu di hospital, sebagai defendan.
Dr Nor Azalina berkata kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab kontraktual untuk melaksanakan kemahiran dan penjagaan yang sewajarnya menyebabkan dia
mengalami kebimbangan dan penderitaan mental.
Katanya sepanjang hayatnya Nurul Husna akan bergantung kepada orang lain untuk semua aktiviti kehidupan hariannya.
Peguam kanan Persekutuan Zaliha Mohd Janis mewakili defendan.
- Bernama

