Sebuah syarikat yang didakwa mendiskriminasikan golongan bumiputera apabila mengiklankan kecenderungan mereka untuk mengambil bukan bumiputera bekerja tampil menafikan dakwaan tersebut.

Pengarah urusan Leader Cable Industry Bhd, Azhar Ariffin berkata iklan itu adalah satu kesilapan dan pihaknya sudah menghubungi portal mencari pekerjaan jobstreet.com untuk membetulkan perkara itu.

"Ia adalah satu kesilapan yang jujur di pihak kami. Kami secara ikhlas memohon maaf di atas kesilapan ini.

"Kami sudah menghubungi Jobstreet apabila menyedari kesilapan itu dan dimaklumkan Jobstreet yang kesilapan itu dibetulkan hari ini," katanya kepada Malaysiakini.

Jelasnya lagi, syarikat itu sentiasa menggalakkan penglibatan bumiputera dalam syarikat mereka.

"Ini amat jelas dalam nisbah pekerja kami yang 83.5 peratus daripada mereka merupakan bumiputera.

"Ini adalah gambaran jelas komitmen kami dalam menggaji pekerja bumiputera," kata Azhar lagi.

Menurutnya, syarikat itu turut mempunyai latihan menyeluruh untuk melatih dan memupuk tenaga kerja mereka termasuklah golongan bumiputera.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang membangkitkan satu iklan mencari pekerja untuk jawatan jurutera pengeluaran yang menetapkan kecenderungan untuk memilih calon bukan bumiputera.

Beliau memuatkan satu versi iklan tersebut di Twitter, yang menyatakan "Hanya bukan bumiputera akan dipilih dan kami menggalakkan mereka untuk memohon".

Laporan terdahulu:

KJ: Iklan cari pekerja diskriminasi bumiputera