Berbasikal untuk integrasi nasional
Diterbitkan: Jun 9, 2014 9:00 AM | Dikemas kini: Jun 9, 2014 2:09 PM
Amalan berbasikal boleh mencetuskan integrasi sosial di kalangan masyarakat yang berbeza latar belakang keturunan, agama dan adat resam, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail.
Baginda bertitah amalan berbasikal juga dapat mengatasi masalah kesihatan dan boleh dikembangkan kepada golongan muda serta kepada semua ahli keluarga yang boleh dijadikan aktiviti keluarga.
"Tabiat memupuk budaya berbasikal ini sewajarnya dimulakan sejak peringkat awal di mana ibu bapa harus mendedahkan dan melibatkan anak-anak dengan aktiviti itu tanpa mengabaikan aspek keselamatan," titah baginda.
Raja Muda bertitah demikian semasa program kayuhan bersama kira-kira 100 peserta di 'Royal Pearl Balik Pulau Ride', di George Town semalam.
Baginda bertitah aktiviti berbasikal juga dapat mengurangkan penggunaan kenderaan yang menggunakan sumber tenaga bahan api seperti kereta dan motosikal yang menjadi punca kepada pencemaran udara.
"Amalan berbasikal turut menjimatkan dari segi kewangan.
"Ini jelas menunjukkan bahawa sukan berbasikal memberi banyak kebaikan terhadap kehidupan kita," titah baginda.
- Bernama

