Sistem Pengajian Islam di institusi pengajian tinggi (IPT) negara perlu mempunyai dasar lebih jelas supaya dapat melahirkan golongan ilmuan dan profesional bertunjangkan Islam dalam pelbagai bidang.

    

Pengerusi Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Prof Emeritus Datuk Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata dasar lebih jelas tentang pengajian Islam diperlukan kerana kebanyakan graduan dalam bidang itu dilihat tidak mempunyai arah tuju selepas menamatkan pengajian mereka.

    

"Sebagai contohnya, negara kita masih memerlukan tenaga kerja dalam bidang perbankan Islam, tetapi sistem pengajian Islam kita belum mampu melahirkan orang yang mempunyai kekuatan dalam kedua-dua bidang (bank dan Islam) itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat Hala Tuju Pengajian Islam di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di ibu negara, hari ini.

   

Turut hadir Profesor Ulung ISTAC Tan Sri Mohd Kamal Hassan dan dekan fakulti dan program Pengajian Islam dari IPTA seluruh negara.

    

Mahmood Zuhdi yang juga Dekan ISTAC berkata dasar baharu sistem pengajian Islam negara yang akan dibentuk nanti akan memberi ruang untuk pelajar bidang agama lepasan IPTA turut sama berpeluang menyumbang kepada negara melalui bidang yang diceburi kelak.

"Oleh kerana itu kita perlu lihat kembali apa konsep yang sesuai dan bagaimana ia dapat diterjemahkan dalam satu dasar dan konsep yang praktikal untuk masyarakat dalam negara kita," katanya.

    

Sementara itu, Mohd Kamal berkata antara cadangan memperbaiki hala tuju pengajian Islam di negara ini termasuklah menambah baik kurikulum program pengajian Islam di IPT tempatan.

    

"Ilmu tambahan yang perlu diterapkan aspek Islamik adalah seperti ekonomi, kewangan, sastera, seni, pengurusan, astronomi serta sains dan teknologi perlu dijadikan sebahagian daripada kurikulum Pengajian Islam di IPT tempatan.

    

"Pelajar jurusan Pengajian Islam juga perlu menguasai ilmu alat seperti ilmu komunikasi termasuklah bahasa Arab, bahasa Inggeris dan teknologi maklumat (IT) supaya dapat bersaing dalam alam pekerjaan selepas tamat belajar.

    

Mohd Kamal berkata istilah pengajian Islam seharusnya dipandang dari sudut yang luas dan pelbagai tanpa perlu melihat agama secara eksklusif sahaja.

    

"Pada persidangan hari ini, kita setuju tadi bahawa definisi pengajian Islam tidak boleh disempitkan kepada ilmu agama secara eksklusif semata-mata, kerana ia mestilah merangkumi ilmu keduniaan dan ilmu-ilmu baharu yang dapat memenuhi keperluan zaman sekarang," katanya.

    

Perbincangan meja bulat Hala Tuju Pengajian Islam selama sehari itu dianjurkan oleh Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam IPTA dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia dan ISTAC.

    

-Bernama