Seorang warga emas yang dipercayai pesakit mental maut dalam kejadian langgar lari semasa melintas jalan di Km 62 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran pagi semalam.

M Krishna, 60, yang tidak bekerja dan beralamat di Kampung Sri Jaya, Maran mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim.

Dalam kejadian 5.36 pagi itu mangsa dilapor berjalan kaki sendirian dari rumahnya menuju ke destinasi yang tidak diketahui dan dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika mahu melintas jalan, katanya di Kuantan hari ini.

Menurutnya siasatan awal juga mendapati mangsa turut digilis oleh beberapa kenderaan lain selepas itu berdasarkan keadaan mayat ketika ditemui oleh orang awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

- Bernama