PEMBELA mahu Akta Hasutan kekal
Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), mahu kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 dengan beberapa penambahbaikan dan mengkaji semula tiga draf rang undang-undang baharu yang dicadang menggantikan
akta berkenaan.
Pengerusi PEMBELA Hafiz Nordin berkata perkara itu perlu dilakukan memandangkan Akta Hasutan 1948 merupakan akta yang diluluskan untuk melindungi asas-asas negara khususnya Perkara 153, Perkara 152, Perkara 181 dan Bahagian ketiga Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipersoal oleh mana-mana pihak termasuk Parlimen.
"Cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 bakal menyebabkan asas perpaduan dan keharmonian yang selama ini dikecapi negara menjadi sasaran terbuka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri pada 30 Mei lepas berhubung hasrat kerajaan memperkenalkan akta baharu bagi menggantikan Akta Hasutan 1848 dan mengesahkan menerima tiga draf rang undang-undang baharu.
Tiga rang undang-undang itu ialah Rang Undang-Undang Harmoni Nasional (Nasional Harmony Bill), Rang Undang-Undang Perpaduan Nasional (National Unity Bill) dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional (National Unity and Integration Commission Bill).
Hafiz yang sebelum itu menghadiri persidangan meja bulat bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam, berkata ketiga-tiga draf rang undang-undang baharu itu sedang dalam penelitian pejabat Peguam Negara.
"Kami juga mahu kerajaan membuat kajian semula terhadap tiga draf rang undang-undang baharu itu dengan merujuk kepada pihak-pihak yang berkenaan kerana mendapati cara penggubalannya bertentangan dengan norma pengubalan
undang-undang negara.
"Kami juga mendapati bahawa penggubal yang terlibat hanyalah satu kelompok kecil jawatankuasa kerja dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), hanya tiga orang yang terlibat dan mereka tidak merujuk kepada MKPN sepenuhnya sebelum diserahkan kepada menteri yang bertanggungjawab (Nancy)," katanya.
Hafiz berkata hasil perbincangan meja bulat Pembela dengan beberapa NGO lain hari ini telah menggariskan enam cadangan yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pihaknya sedang mengatur pertemuan itu.
"Kami berharap pertemuan itu dapat diatur dengan segera," katanya.
Antara cadangan yang digariskan ialah rang undang-undang yang dicadangkan itu tidak lebih daripada satu percubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini, penggubalannya juga mengenepikan kedaulatan negeri-negeri dalam pelbagai aspek dan isi kandungannya juga seolah-olah anti-Melayu.
- Bernama

