Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang wanita tempatan berusia 22 tahun ditemui mati dalam keadaan bogel dalam sebuah bilik hotel bajet di Kelana Jaya

semalam.

    

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superinten Fadil Marsus berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada kira-kira jam 4.30 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    

Beliau berkata mangsa dikatakan mendaftar masuk dengan teman lelakinya pada jam 4 petang semalam (Isnin) sebelum lelaki terbabit menghilangkan diri tengah hari semalam.

    

"Hasil siasatan mendapati, terdapat kesan lebam di leher mangsa dipercayai dicekik. Bagaimanapun, tiada sebarang senjata ditemui di bilik tersebut," katanya.

    

Fadil berkata mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan setakat ini, motif pembunuhan bukan kerana samun.

    

Beliau berkata polis sedang mengesan teman lelaki mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berumur 26 tahun untuk membantu siasatan berhubung kes kematian wanita berkenaan.

    

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata suspek yang dipercayai abang ipar wanita itu ditahan di Hospital Teluk Intan, Perak awal hari ini setelah menerima maklumat orang awam.

    

"Suspek melarikan diri ke Teluk Intan dan minum racun untuk membunuh diri. Namun, dia ditahan polis untuk membantu siasatan. Dia kini dalam keadaan selamat," katanya kepada Bernama .

Beliau juga berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui sama ada mangsa dirogol atau tidak.

    

"Kita (polis) tidak tahu hal keluarga suspek, semuanya dalam siasatan," katanya.

   

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS