Wartawan veteran Tan Sri Zainuddin Maidin menangkis tuntutan dari seorang pemimpin Umno Johor agar akhbar milik parti tersebut memohon maaf atas laporan yang mempersoalkan campurtangan Sultan Johor dalam pentadbiran negeri.

Bekas ketua pengarang Utusan Malaysia itu berkata, ADUN Bukit Permai Ali Mazat Salleh tidak menunjukkan sikap prihatin kepada nasib rakyat kerana menjadikan Utusan sebagai sasaran.

“(Ali Mazat) seorang wakil rakyat yang tidak perihatin dengan perasaan rakyat, yang hanya hendak menjunjung duli dalam keadaan apapun, tidak akan dapat merasakan kepedihan dan kesakitan hati rakyat dalam hasrat hendak memberikan kuasa itu kepada Raja.

“Inilah keperibadian wakil DUN yang dipilih oleh rakyat Bukit Permai,” katanya seperti dipetik daripada tulisan blog zamkata.blogspot.com

Zainuddin menegaskan Utusan memainkan tanggungjawab besar dalam membawa bantahan rakyat mengenai rang undang-undang kontroversi berhubung kuasa Sultan Johor dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor.

Katanya, laporan Utusan ke atas isu kuasa sultan dalam lembaga itu berhasil membuatkan Menteri Besar meminda kuasa mutlak raja dalam rang undang-undang untuk membentuk lembaga berkenaan.

Ali Mazat ketika membahaskan Rang Undang-Undang itu di sidang DUN Johor pada hari Isnin lalu menganggapnya sebagai satu provokasi.