Adik perempuan anggota Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan suaminya maut dalam kemalangan di Jalan Bahau-Keratong, berhampiran stesen timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Palong, dekat Jempol awal hari ini.

    

Shamsiah Ahmad, 45, dan suaminya Ismail Atan, 52, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan dalam kejadian 1.30 pagi itu.    

    

Jurucakap polis berkata kedua-dua mangsa yang menaiki lori satu tan sedang dalam perjalanan dari Mersing, Johor ke Bangi, Selangor apabila dipercayai berlanggar belakang sebuah kenderaan berat semasa dalam perjalanan untuk menghantar bekalan ikan di Bangi.

    

Bagaimanapun pemandu kenderaan berat itu dipercayai menghilangkan diri dengan meninggalkan lokasi kejadian.

    

Katanya jenis kenderaan yang terbabit belum dapat dipastikan buat masa ini kerana pemandunya tidak berhenti selepas kejadian itu.

    

Sepasukan empat anggota bomba dari Bandar Seri Jempol dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat yang tersepit.

    

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

    

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan beliau meminta saksi kejadian supaya tampil ke depan bagi membantu siasatan.

- Bernama