El Nino: S'gor tak cadang catu semula air
Selangor tidak merancang untuk mencatu kembali bekalan air sepanjang musim kering 'El Nino' yang kini sedang melanda Asia Pasifik.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah menyediakan 20 pam yang diletakkan di sembilan kolam sumber air di dua sungai yang mampu menyediakan bekalan air mentah sebanyak 800 juta liter sehari.
"Dengan perancangan ini pengeluaran air mentah dari Sungai Selangor dapat diminimakan bagi membolehkan bekalan air terawat di Loji Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dapat disalurkan seperti biasa," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.
Khalid berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) telahpun mencuba sistem tersebut dan hasilnya adalah positif.
Dengan sistem ini, air sungai akan dipam ke kolam sumber air ketika paras air naik dan perkara sebaliknya akan berlaku apabila musim kering bagi memastikan bekalan air ke loji rawatan air sentiasa ada dan akan dipantau supaya selamat untuk disalurkan.
"Kita ambil sampel (air) setiap minggu untuk pastikan ia selamat," katanya.
Selain kolam, kata Khalid, Selangor turut akan bekerjasama dengan 'Bureau of Royal Rainmaking and Agricultural Aviation of Thailand' bagi melakukan proses pembenihan awan.
"Sehingga kini 37 operasi pembenihan awan dilakukan biro ini.
"Walaupun kadar hujan sedikit di kawasan empangan, dengan kerjasama biro tersebut telah meningkatkan keberkesanan kadar hujan yang diterima," katanya.
Sementara itu, Khalid berkata pengambilalihan syarikat konsesi Puncak Niaga dijangka selesai dalam tempoh sebulan.
Ini kerana keputusan yang baru dicapai dalam mesyuarat luar biasa Puncak Niaga semalam mengambil masa untuk dilaksanakan.
"Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Rozali Ismail kerana terima tawaran kami," kata beliau ketika diminta memberi komen mengenai hal.ini
Selangor dilaporkan akan membelanjakan RM 9.5 billion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air Selangor.

