Zahid elak jawab isu 'jalan tengah' IGP
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengelak daripada mengulas kenyataan 'jalan tengah' Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu pertelingkahan tentang hak penjagaan kanak-kanak.
Disoal sebanyak dua kali tentang perkara itu oleh wartawan Malaysiakini di lobi Parlimen hari ini, Zahid hanya menjawab ringkas, "Bukan hari ini".
Zahid kemudian terus mengakhiri sidang media tersebut dan beredar.
Sebelum ini, Khalid dihujani pelbagai kritikan susulan kenyataannya yang menyatakan polis akan kekal mengambil sikap berkecuali dalam pertikaian hak penjagaan anak antara ibu bapa yang berlainan agama.
Menyifatkan tindakan itu sebagai penyelesaian yang "adil", Khalid berkata polis akan meletakkan kanak-kanak di pusat-pusat penjagaan kanak-kanak dalam kes-kes melibatkan percanggahan keputusan mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

