MP Seputeh Teresa Kok mempersoalkan jika Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengarahkan polis supaya tidak bertindak jika ada seseorang mengugut untuk membunuhnya.

"Apakah polis akan bertindak jika seseorang mengugut untuk mengebom lapangan terbang atau membunuh beliau (Zahid)?

"Adakah beliau akan mengarahkan polis untuk tidak bertindak kerana perbuatan jenayah tidak berlaku?" soal Teresa dalam sidang medianya di parlimen hari ini.

Beliau melontarkan persoalan itu bagi menjawab jawapan Zahid semalam yang berkata ugutan sebuah NGO untuk menampar Teresa "tidak boleh dikatakan wujud suatu jenayah".

Ahli parlimen Bagan Datoh dan naib presiden Umno itu berkata tindakan itu tidak dianggap sebagai perbuatan jenayah kerana tidak memenuhi dua elemen iaitu "perbuatan dan niat jahat".

"Adalah menjadi prinsip di dalam undang-undang jenayah di mana suatu kesalahan jenayah hanya boleh wujud apabila terdapat dua elemen bersekali iaitu actus reus (perbuatan) dan mens rea (niat jahat).

"Oleh yang demikian, jika dirujuk kepada persoalan yang dibangkitkan oleh ahli yang berhormat, maka ianya tidak boleh dikatakan wujud suatu jenayah dilakukan kerana tidak memenuhi prinsip-prinsip undang-undang seperti yang telah nyatakan tadi," kata Zahid.

Pada Februari lalu NGO Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia menawarkan ganjaran RM500 - yang kemudian dinaikkan kepada RM1,200 - kepada mana-mana individu yang berjaya menampar Teresa dan merakamkannya.

[Baca berita penuh]