MB: S'gor berbesar hati dedah kajian air lombong
Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk anggota parlimen Klang Charles Santiago mengambil tindakan undang-undang ekoran tindakan kerajaan negeri mengepam air daripada lombong ke lembangan empangan Selangor.
Ini kerana, kata menteri besar, kerajaan negeri sebenarnya “berbesar hati” untuk mendedahkan dapatan yang menunjukkan bahawa meminum air yang dibekalkan adalah selamat.
“Kami jalankan ujian setiap minggu. Kementerian Kesihatan, negeri dan konsesi air kesemuanya melakukan ujian,” katanya.
Khalid berkata, keputusan ujian itu juga boleh dilihat di laman web Lembaga Pengurusan Air Selangor (LUAS).
Ketika ditanya pemberita, Khalid berkata, beliau akan mengarahkan exco bertanggungjawab Yunus Hairi untuk membolehkan kesemua dapatan boleh dilihat orang ramai esok.

