Brazil ungguli perlawanan pembukaan Piala Dunia
Ketika jutaan peminat bolasepak bersorak di seluruh dunia ketika tuan rumah Brazil membenam Croatia 3-1 di Sao Paolo awal pagi ini, ribuan turut meraikannya depan televisyen dan restoran mamak seluruh negara.
Demam empat tahun sekali kembali melanda kaki bola negara ini yang bakal menghangatkan lagi suasana malam sepanas Fenomena El-Nino yang melanda Asia Pasifik.
Hal ini turut dibimbangi majikan dan bos syarikat yang pastinya menjangkakan pekerja yang tidak cukup tidur menonton perlawanan bola sepak di kaca televisyen sehingga 14 Julai depan.
Selain pasukan Brazil yang masih menjadi pilihan, negara yang menjadi tumpuan menjuarai tetap pasukan hebat lain seperti Argentina, England, Itali, Jerman dan juara bertahan Sepanyol.
Brazil yang mempunyai kelebihan kerana tempat sendiri dijangka mampu mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir tanpa sebarang masalah menebus prestasi hambar di Afrika Selatan empat tahun lalu.
Kemenangan 3-0 ke atas Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Konfederasi FIFA tahun lalu bakal menyuntik semangat anak buah Luiz Felipe Scolari dan memberi harapan peminat melihat bintang mereka Neymar menjulang piala pada kemunculan pertamanya.
Bagi majoriti peminat Liga Perdana British, yang menjadi liga paling banyak ditonton di Malaysia, tentunya memilih England.
Sandaran terletak kepada pemain bintang seperti Wayne Rooney, Frank Lampard dan kapten mereka Steven Gerrard untuk memenangi piala paling berprestij dalam arena bola sepak sejak 1966.
Bagaimanapun anak buah Roy Hodgson ini bakal berdepan laluan sukar kerana prestasi tidak konsisten dan pasukan yang masih kurang stabil di peringkat kelayakan.
Jerman yang diterajui oleh Joachim Löw dilihat sebagai antara pasukan yang paling konsisten kerana tidak pernah kalah sejak Kejohanan Eropah pada 2012.
Dengan barisan pertahanan yang mantap, pemain tengah yang kreatif dan penyerang berbisa pimpinan Mesut Ozil, Jerman sudah pasti mampu memberikan saingan sengit terhadap mana-mana pasukan yang mencabarnya.
Sementara itu juara bertahan Sepanyol yang dibarisi pemain-pemain yang didominasi oleh pasukan Real Madrid dan Barcelona turut mempunyai peluang besar untuk mencipta rekod sebagai juara kali kedua berturut-turut.
Bagaimanapun corak 'tiki-taka' dilihat sudah agak 'lapuk' dan tonggak agak berusia mungkin menjadi masalah kepada mereka.
Selain itu pasukan Belanda, Portugal dan Belgium dilihat boleh menjadi pakej kejutan buat Piala Dunia kali ini.
Perlawanan akhir Piala Dunia 2014 bakal berlangsung 14 Julai depan di Stadium Maracanã yang turut menjadi gelanggang final pada tahun 1950.

