Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berpuas hati dengan penjelasan mengenai tahap keselamatan pengunaan air lombong.

Pengerusi Selcat Hannah Yeoh berkata jawatankuasa itu telahpun mendengar penjelasan wakil Jabatan Kimia, Jabatan Kesihatan serta Pengerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Mohd Khairi Selamat dalam pendengaran pada 10 Jun lalu.

"Selcat berpuas hati dengan jawapan daripada wakil Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan bahawa mereka mengambil sampel air setiap minggu dan mengesahkannya selamat untuk digunakan," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Pendengaran Selcat selama dua jam itu itu dihadiri semua panel kecuali timbalan speaker Nik Nazmi Nik Ahmad.

Panel yang terlibat ialah Hannah, ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib, ADUN Sekinchan Ng Swee Lim dan ADUN Permatang Sulaiman Razak mendengar penjelasan pihak yang terlibat.

Selain Khairi yang membawa dua wakil jabatan itu, turut dipanggil ialah ahli parlimen Klang Charles Santiago dan Kelana Jaya Wong Chen yang membuat kenyataan media dan meluahkan kebimbangan bahawa air lombong itu tidak selamat digunakan.

Sementara itu, Hannah mengakui bahawa sesi pendengaran kali ini dilakukan secara tergesa-gesa kerana panel itu perlu mendapatkan maklumat mengenai perkara yang dibimbangi rakyat Selangor.

Menurut beliau kesuntukan masa berlaku kerana beliau dan ADUN lain sedang sibuk membuat persediaan bagi sidang DUN bermula Isnin ini.

"Kami akan membentangkan laporan penuh mengenai hal ini dalam sidang DUN hujung tahun depan," kata Hannah yang juga ADUN DAP Subang Jaya.