Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh berkata pandangan peribadi beliau tidak penting dalam menerima usul hudud dari ADUN Umno negeri itu.

Ini kerana, katanya, banyak pihak mempertikaikan keputusan beliau membenarkan usul kontroversi itu dibentang dalam DUN walaupun partinya tidak menyokong undang-undang syariah Islam itu.

Hannah yang juga ADUN DAP Subang Jaya menegaskan beliau merupakan speaker yang berkhidmat untuk semua parti dalam dewan termasuk DAP, PKR dan Umno.

"Ketika saya menjadi speaker saya bukan lagi ahli DAP atau Pakatan Rakyat," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Semalam Hannah menyatakan menerima tiga dari empat usul yang diberikan Umno minggu lalu termasuk usul Hudud dari ADUN Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik.

Manakala MCA dan Gerakan kemudiannya menggesa ADUN Umno Selangor itu menarik kembali usul tersebut.

Naib Presiden MCA Chew Mei Fun berkata beliau kesal dengan tindakan Kamarol yang dilaporkan akan membentangkan usul itu kerana tiada kesepakatan antara parti komponen BN mengenai pelaksanaan hudud sehingga sekarang.

Hannah berkata beliau berada dalam dilema kerana beliau pasti akan tetap dituduh BN walau apa keputusan yang dibuat.

"Kalau saya tak terima usul ini, Umno akan kata saya anti Islam. Kalau saya terima MCA akan kata saya bermain-main dengan hudud.

"Apa yang anda akan buat kalau anda jadi saya?" soal beliau kepada wartawan sambil tersenyum.