MP Klang Charles Santiago menyelar pengerusi jawatankuasa khas Selangor, Hannah Yeoh kerana membuat keputusan melulu berhubung tahap keselamatan air lombong yang akan disalurkan kepada pengguna.

Beliau mengumpamakan keputusan Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) itu kesilapan dalam memilih ramuan masakan.

Ramuan yang salah itu akan menyebabkan "bencana pada kesihatan kita", katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, langkah yang wajar tidak dijalankan selepas air lombong ditambah ke bekalan air negeri untuk kegunaan semasa krisis air yang lalu.

Katanya, kesimpulan Selcat itu tidak matang dan mengelirukan kerana dibuat hanya selepas pendengaran dari dua pegawai kerajaan dalam sesi selama dua jam.

"Yeoh dengan selamba mengenepikan kajian akademik selama lima tahun, yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.

"(Yeoh) tidak membawa ahli akademik yang terlibat dalam kajian itu untuk memberi keterangan di di sesi tertutup dan tidak merujuk kepada ahli akademik bebas seperti pakar kimia dan geologi – memandangkan terdapat pandangan berbeza.

"Ringkasnya, Yeoh dan Selcat, yang sepatutnya bebas dari pentadbiran kerajaan Selangor, membuat tindakan yang merugikan warga Selangor," katanya lagi.

Santiago mendakwa air lombong yang digunakan itu mengandungi logam berat dan mengemukakan kes tersebut di sesi Selcat bersama MP Kelana Jaya Wong Chen.

Oleh itu, apa-apa kesimpulan yang akan dikemukakan oleh Selcat ke sidang DUN pada minggu depan tidak membawa apa-apa makna, katanya lagi.

[Baca berita penuh]