Pakar: BSM boleh saman JAIS isu Bible
Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berpendapat Persatuan Bible Malaysia (BSM) boleh menyaman Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekiranya badan tersebut berkeras untuk tidak memulangkan 321 naskhah Bible yang dirampas.
Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata, BSM boleh mengemukakan saman itu mengikut peruntuan kebebasan agama bawah Perlembagaan Persekutuan.
"JAIS atau Sultan dalam hal ini, tiada kuasa untuk mengawal cara bukan Muslim mengamalkan agama mereka," kata Abdul Aziz kepada Malaysiakini.
"Apa yang saya cuba cakap ialah persatuan itu masih boleh melakukan sesuatu untuk menyelesaikan perkara ini," tambah beliau.
Walaupun mengakui terdapat satu 'dilema' apabila pihak berkuasa cuba mengawal apa yang dilakukan JAIS dan MAIS ini, Abdul Aziz menegaskan kedua-dua badan perlu bertindak wajar dalam menangani perkara ini.
"Seperti badan kehakiman, perkhidmatan awam dan semua badan yang lantikan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dan seterusnya, mereka perlu ingan ini adalah demokrasi.
""Mereka tidak boleh terus melanggar prinsip-prinsip akal dan keadilan," kata beliau.
JAIS sehingga kini tidak mahu memulangkan Bible yang dirampas walaupun Peguan Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah menyatakan kes itu telah ditutup dan tiada dakwaan akan dibuat pejabat beliau.

