MB: Laporan Kidex didedah bila lengkap
Semua dokumen laporan impak sosial, alam sekitar, trafik dan pelan jajaran Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) hanya akan dimaklumkan kepada rakyat selepas ia lengkap, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ini kerana, katanya, dokumen itu dimiliki Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) yang memantau pembinaan lebuh raya itu dan kerajaan negeri, katanya.
Pihak berkuasa tempatan pula hanya menerima dokumen selepas ia lengkap untuk memberi kelulusan, tambahnya.
"Perkara (dokumen ini) di bawah jagaan LLM tetapi bagi pihak kerajaan negeri, untuk kelulusan maka dokumen ini perlu diberi kepada (Unit) Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan pihak berkuasa tempatan sebab dokumen ini milik LLM dan hanya orang yang buat keputusan (untuk negeri) baca dokumen tersebut.
"Bila dah dibuat (hantar kepada kerajaan negeri) dokumen itu boleh diminta mengikut Akta Kebebasan Maklumat," katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Minggu lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadhillah Yusof berkata Kidex mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) sebanyak 20 hingga 30 peratus, apabila beroperasi nanti.
ADUN DAP Selangor yang diketuai ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin menolak laporan awal Laporan Penilaian Kesan Trafik (TIA) itu dan mendakwa Kidex 'mengolah kira-kira' sehingga mendapat keputusan Kidex itu mampu menurunkan sehingga 30 peratus kesesakan di Petaling Jaya, Subang dan Puchong.
MB ulangi jaminan
Yeo berkata, berdasarkan laporan itu, 10 tahun selepas ia siap, lebuh raya itu akan mengurangkan kesesakan jalan raya di 43 jalan di Petaling Jaya hanya pada kadar 3.05 peratus.
Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) pada sesi pagi ini diserang soalan bertubi-tubi dari ADUN Pakatan Rakyat lain termasuk Yeo, R Rajiv (DAP-Bukit Gasing) Gan Pei Nei (PKR-Rawang) dan Shuhaimie Shafiee (PKR-Seri Muda).
Khalid mengulangi jaminan kerajaan negeri tidak akan bersetuju dengan pembinaan Kidex dan membenarkan tanah diambil sekiranya prasyarat tidak dipatuhi pemegang konsesi.
Beliau berkata pemegang konsesi dan LLM sendiri biasanya mengambil masa satu hingga satu tahun setengah untuk mengemukakan dokumen itu.
"Ia bergantung kepada tiga perkara iaitu semua laporan penilaian alam sekitar dan trafik lengkap dan diserahkan; kedua, perjanjian tidak berat sebelah kepada pihak pemegang konsesi.
"Dan ketiga, meletakkan klausa sekiranya mencapai jangkaan keuntungan lebih awal, maka perjanjian konsesi akan ditamatkan awal," katanya.

