Patung Buddha: PAS perlu jelaskan isu
Pemimpin PAS digesa memberikan penjelasan kepada masyarakat Cina mengenai kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat parti itu yang berhasrat meruntuhkan patung Buddha jika PAS mengambil alih kuasa di Pahang.
Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock berkata akhbar-akhbar utama berbahasa Cina semalam melaporkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi kawasan Semantan, Idris Omar, didakwa berkata demikian di dewan undangan negeri itu.
Menurut Kerk, laporan Nanyang Siang Pau melaporkan Idris sebagai berkata patung yang bakal dihancurkan termasuklah Kuan Kong, satu tuhan yang biasa disembahyangkan oleh masyarakat Cina.
" Sin Chew Jit Poh melaporkan beliau berkata semua patung bukan Islam akan dihapuskan, sementara laporan China Press menunjukkan Idris menekankan bahawa langkah itu adalah objektif akhir PAS," kata Kerk.
Menurut laporan Sin Chew semalam, wakil-wakil rakyat Barisan Nasional telah membantah kenyataan Idris itu melalui satu sidang akhbar.
Laporan akhbar itu menyebutkan, semasa Adun Indera Mahkota daripada MCA Ti Lian Ker membahas titah ucapan Sultan Pahang, beliau berkata ramai peniaga Cina berjaya dalam bisnes kerana mereka menyembah Kuan Kong yang mendokong keadilan.
Ti juga dilaporkan berkata, "Jikalau PAS memegang kuasa, (saya) percaya bahawa semua patung bukan Islam, termasuk nenek-moyang yang kita sembahk akan turut dimusnahkan."
Kenyataan Ti itu dilaporkan mendapat jawapan balas Idris: "Menurut ajaran Islam, PAS mempunyai tanggungjawab memusnahkan patung bukan Islam."
Dalam satu kenyataan, Kerk menjelaskan pemusnahan Buddha di Bamiyan oleh kerajaan Taliban di Afganistan memberikan gambaran kepada masyarakat antarabangsa bahawa Islam bersifat tidak toleran.
"Ulasan Idris seumpama itu selepas pemusnahan (itu) yang tidak masuk akal dan kejam ini tidak dapat membantu perjuangan Islam, PAS dan Barisan Alternatif," katanya lagi.
"DAP tidak boleh menerima kenyataan Idris yang amat buruk ini."
Kata Kerk, beliau akan menerangkan pendirian DAP dan masyarakat Cina dalam isu ini kepada Presiden PAS Datuk Fazdil Nor berhubung perkara itu.
Kata beliau, semua parti politik mesti menerima dua fakta penting iaitu Malaysia sebuah negara berbilang bangsa dan pelbagai budaya, dan kedua, kebebasan mengamalkan agama dijamin oleh perlembagaan.
"Maka, semua parti harus menunjukkan komitmen mereka kepada kedua-dua fakta ini dalam kenyataan dan kelakuannya," kata beliau.

