Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pertemuan di antara menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan agensi pelaksananya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Isnin lalu menemui jalan buntu apabila perbincangan hangat yang berlangsung tidak membuahkan apa-apa hasil.

Penyelesaian dalam isu ini menjadi tumpuan kerana akan memberi petunjuk sama ada Khalid berjaya mengawal pentadbirannya dan seterusnya mengembalikan keyakinan masyarakat bukan Islam, khususnya Kristian yang kecewa dengan tindakan badan penguatkuasa negeri itu.

Khalid semalam menyatakan beliau akan menghadap Sultan  Selangor secepat mungkin – seboleh-bolehnya hari ini – bagi mencadangkan keputusan kepada baginda, demi menyelesaikan kemelut ini mengikut "tatacara dan prosedur" yang betul.

Namun, menurut beliau sendiri, perbincangan di kalangan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri berhubung hasil mesyuarat dengan JAIS dan MAIS itu juga "masih belum selesai".

Satu sumber di pejabat menteri besar memberitahu Malaysakini bahawa wakil MAIS dan JAIS bertegas untuk tidak

memulangkan naskhah Bible yang dirampas oleh JAIS dari Persatuan Bible Malaysia (BSM) dalam mesyuarat hari Isnin.

Khalid dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Khusrin Munawir pula mempertahankan pendirian untuk  memulangkannya, selaras keputusan Peguam Negara (AG) menutup kes ini, kata sumber.

MAIS diwakili pengerusinya, Datuk Mohd Adzib Isa manakala JAIS diwakili timbalan pengarah, Ahmad Zaki Arshad dalam pertemuan selama dua jam pada petang Isnin itu, kata pegawai kanan Khalid itu.

Sumber yang sama memberitahu, MAIS dan JAIS masih bertegas bahawa serbuan dan rampasan itu dilaksanakan secara sah di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Penyebaran kepada Umat Islam) Selangor 1988.

"Jadi JAIS dan MAIS anggap barang rampasan iaitu Bible tersebut adalah milik mereka," kata beliau kepada Malaysiakini.

Pegawai yang menyertai mesyuarat semalam enggan memberi 

sebarang kenyataan kepada media yang menanti di hadapan Bangunan SUK walau Exco Agama Selangor Sallehen Mukhyi berkata Khalid bakal mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut.

Namun sehingga hari ini tiada sebarang kenyataan dibuat mengenai pertemuan semalam.

Ketika ditemui di lobi dewan undangan negeri semalam, Khalid bagaimanapun menafikan bahawa beliau bergeser dengan wakil MAIS dan JAIS dalam mesyuarat, namun mengakui bahawa terdapat "perbezaan pendapat".

"Tak ada, tak ada (ketegangan)... Saya ingin nyatakan bila ada perbincangan sudah tentu ada perbezaan. Perbezaan itu kita hanya bincangkan ketetapan yang boleh dilakukan.

"Tak semestinya boleh selesai hari ini boleh jadi exco saya juga ada beberapa pandangan berkenaan perkara ini sebab itu saya perlu berbincang dengan exco saya dulu," katanya kepada Malaysiakini sebelum menyertai mesyuarat exco,

Selepas mesyuarat itu, beliau ditanya sekali lagi dan memberitahu Malaysiakini, mesyuarat "perbincangan masih tidak selesai" dengan anggota exco.

ADS