Lapan warga asing mati lemas manakala seramai 28 lagi masih hilang dalam kejadian tongkang karam berdekatan Sungai Air Hitam, Banting awal pagi ini.

Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 61 orang daripada kesemua 97 orang dalam tongkang tersebut.

Kesemuanya dipercayai warga Indonesia dan polis sedang menyiasat kes tersebut mengikut kesalahaan pemerdagangan manusia.

Bercakap dalam sidang media petang ini, Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata bot tersebut sepatutnya berlepas dari pelabuhan Pulau Carey ke Tanjung Balai, Sumatera pada jam 11 malam, Selasa.

Katanya, vesel tersebut karam di kedudukan hanya dua batu nautika dari muara Sungai Air Hitam.

Menurut Abdul Samah, individu yang terselamat termasuk 48 orang lelaki, 12 orang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

Daripada jumlah itu, seramai 31 orang ditahan oleh Jabatan Kastam, dan selebihnya ditahan oleh polis.

“Mereka dalam keadaan letih dan koma ketika diselamatkan dan polis memberikan bantuan yang perlu," katanya.

Tambahnya, kebanyakan dari individu yang terselamat memegang dokumen pengenalan yang tamat tempoh dan salah seorang daripadanya tidak memiliki apa-apa dokumen berkaitan.

Abu Samah juga mengesahkan bahawa empat mayat lelaki dan satu mayat wanita ditemui.

Pembantu pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul kemudiannya mengesahkan bahawa tiga lagi mayat lelaki ditemui pada jam 7.15 petang.

[Baca berita penuh]