Kes Najib vs Mkini tukar hakim
Saman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Mkini Dot Com Sdn Bhd, yang mengendalikan portal berita Malaysiakini , akan didengar di hadapan hakim lain.
Perkara itu diketahui hari ini apabila kes itu didengar oleh Timbalan Pendaftar Norfauzani Mohd Nordin.
Apabila Malaysiakini menerima saman yang difailkan oleh firma Hafarizam, Aishah dan Mubarak pada 3 Jun, dokumen yang disampaikan oleh firma itu menyatakan perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, SM Komathy Suppiah.
Bagaimanapun, menurut peguam Malaysiakini, Ashok Kandiah, kes itu berjalan di hadapan Timbalan Pendaftar Norfauzani hari ini.
"Semasa itu, timbalan pendaftar berkata ia ditetap akan didengar oleh pesuruhjaya kehakiman, Datuk Kamaluddin Md Said," katanya.
Ditanya mengenai pertukaran hakim itu, peguam yang mewakili Najib dan Umno, Wan Azmir Wan Majid, berkata beliau tidak pasti sama ada hakim asal sepatutnya Hakim Komathy.
Sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman, Kamaluddin mengetuai Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara.
Pengurusan kes 24 Julai
Mahkamah itu juga menetapkan 1 Julai untuk Malaysiakini memfailkan pernyataan pembelaannya.
Ashok (kiri) berkata kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 Julai, dan memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan daripada Malaysiakini sama ada untuk memohon untuk membatalkan saman tersebut.
Najib dan Abdul Rauf awal bulan ini memfailkan saman ke atas komen yang dibuat oleh pembaca Malaysiakini dalam dua artikel Yoursay mengenai kemelut politik yang melanda Terengganu bulan lepas.
Kamaluddin juga dilantik sebagai hakim yang dijadualkan mendengar saman isteri P Balasubramaniam terhadap Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan tujuh yang lain.
Sabtu lepas, peguam Americk Sidhu memberitahu bahawa balu Balasubramaniam dan tiga orang anak mereka memfailkan saman terhadap Najib dan lapan yang lain.
NOTA: Surat yang disertakan bersama Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan menyatakan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi SM Komathy Suppiah.

