Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyuarakan bantahan terhadap cadangan empat MP PAS yang menggesa kerajaan negeri agar meminda undang-undang untuk menghapus kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengingatkan langkah seumpama itu bakal memberi ruang kepada bukan Islam untuk campurtangan dalam hal ehwal agama Islam.

"Impak mengambil kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) akan menjadikan hal ehwal agama Islam akan diganggu oleh orang bukan Islam yang berada dalam Majlis Mesyuarat Negeri ataupun pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Majlis Agama Islam sebenarnya adalah sebuah ‘kerajaan Islam’ di dalam sesebuah negeri.

"Ia bebas dari kongkongan pihak berkuasa negeri kerana MAIN menasihat Sultan secara langsung tanpa campurtangan pihak berkuasa negeri dalam isu Islam” katanya seperti dilapor dalam Ismaweb semalam.

Dalam laporan itu juga, Zainul Rijal berkata kuasa mutlak yang dimiliki majlis agama Islam negeri dalam hal ehwal agama Islam tidak boleh dipinggirkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, ini kerana tujuan kuasa itu bagi melaksanakan tanggungjawab Sultan sebagai ketua agama negeri dan ia selaras dengan undang-undang tubuh sesebuah negeri yang dijamin Perlembagaan Persektuan.

“Jadi tindakan menghapus kuasa eksekutif MAIN sebenarnya akan juga menghakis kuasa Sultan,” katanya.

[Baca berita penuh]