Dua MP pembangkang berkata mereka akan merujuk Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke jawatankuasa hak dan kebebasan atas kenyataan bercanggah yang dikeluarkan menteri tersebut di Dewan Rakyat.

Oscar Ling (DAP-Sibu) mengemukakan usul tersebut semalam, ekoran kenyataan Jamil Khir bahawa Malaysia bukan negara sekular, manakala usul oleh Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) pula atas kenyataan Jamil Khir berhubung undang-undang hudud di Malaysia.

Ng berkata beliau tidak berpuas hati kerana Jamil Khir tidak menyatakan dengan jelas pendirian kerajaan berhubung hudud, yang menurutnya boleh mengelirukan Dewan.

Speaker Tan Seri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun berkata perkara itu tidak akan dibincangkan pada hari ini.

"Anda baru menghantar usul hari ini, saya perlu melihat ia dulu dan akan beritahu (keputusan) mengenai hal ink esok," kata Pandikar kepada Ng hari ini.

Mengikut prosedur biasa Jamil Khir akan diminta memberi respon di dalam Dewan atau di pejabat speaker sebelum speaker bersetuju merujuk beliau ke jawatankuasa itu.

Semalam, timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee yang mempengerusikan persidangan Dewan semalam menetapkan bahawa Jamil Khir tidak perlu menjelaskan kenyataan beliau semalam mengenai Malaysia bukan negara sekular yang menimbulkan bantahan dari Oscar.