Pakatan Rakyat berjanji akan memperjuangkan hak peneroka Felda yang menuntut lesen persendirian dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk menjual hasil mereka kepada kilang selain Felda.

Walaupun usul membahaskan isu itu ditolak, Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali berkata kehadiran kira-kira 300 peneroka di dalam dan luar parlimen hari ini membuktikan mereka berani memperjuangkan hak mereka.

"Walaupun hujah dan perbahasan pagi ini telah dihalang tetapi kita tidak kalah, kita menang dalam perjuangan ini.

"Bila ada peneroka Felda berani berhimpun tuntut hak mereka itu tandanya ada perubahan akan berlaku," katanya dalam sidang media di depan Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee menolak usul perbahasan yang dibentang MP Subang R Sivarasa atas "alasan teknikal".

Menurut Pandikar, usul itu melanggar peraturan 19(1)(a) kerana dicadang empat MP dan dokumen yang disertakan tidak ditandatangani oleh semua nama.

Isnin lalu, Sivarasa dan tiga MP Pakatan menghantar cadangan usul membahaskan perkara ini berserta petisyen yang ditandatangani 3,015 peneroka Felda yang menuntut supaya diberikan lesen oleh MPOB.

Azmin berkata Pandikar sepatutnya menerima usul itu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya hal politik.

Malah, beliau turut membidas sikap MP Umno lain yang tidak menyokong dan mengejek MP Pakatan yang cuba membahaskan usul itu.

Isu rakyat

"Bukan kita bawa isu politik ini isu rakyat. Yang kita bawa ini bukan saja usul tetapi petisyen dari peneroka Felda.

"Kalau lihat ahli parlimen Umno tadi. Masa nak dapatkan undi dia datang jumpa hari ini rakyat tuntut hak mereka diam.

" Saya hampir dibuang (dewan) tadi. Tapi tak apa. kalau dibuang saya akan pusing semua kawasan felda.

Sementara itu, Sivarasa meluahkan rasa tidak berpuas hati kerana alasan teknikal yang digunakan sebelum itu tanpa memikirkan masalah yang dihadapi peneroka ini.

"Cuba fikir jika saya ada hasil sawit, kenapa saya tak dapat jual ke kilang yang saya pilih?. Harus ingat kekayaan negara ini dapat dari titik peluh peneroka.

"Bagi saya dan MP Pakatan, inilah hakikat parlimen. Suara peneroka tidak akan berhenti di sini. Perjuangan kita tuntut lesen MPOB adalah hak yang cukup berasas," katanya.

300 peneroka ini mewakili lebih 3,000 rakan mereka yang telahpun memiliki tanah masing-masing tetapi dipaksa untuk menjual hasil mereka kepada Felda dengan harga rendah.

Mereka datang dari Felda Jengka, Keratong, Cini, Kota Gelanggi, Palong , Mempaga, Bukit Tajau, Bukit Damar, Sungai Koyan, Lurah Bilut, Sungai Tekam, Kemahang (Kelantan), Sungai Relang dan Kampung New Zealand.