MP Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata harga sawit yang dibeli oleh Felda dari peneroka "tidak seteruk" yang didakwa kumpulan peneroka yang berhimpun di Parlimen semalam.

Sedangkan, katanya, peneroka Felda mendapat pelbagai insentif dan kelebihan daripada agensi tersebut selama ini.

"Sefaham saya, harga yang dibeli Felda taklah teruk sangat. Peneroka dah dapat tanah mereka sendiri, Felda pula terikat dengan perjanjian.

"Felda juga bukan setakat beli buah sahaja tetapi beri bonus dan insentif semua," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Beliau mengulas tindakan 300 peneroka berhimpun menuntut lesen dari Lembaga Minyak Sawit Berhad (MPOB) itu untuk menjual sendiri hasil sawit kepada kilang selain Felda yang didakwa membeli dengan harga yang rendah.

 

Usul pembangkang untuk membahaskan isu itu di Parlimen dan petisyen peneroka ditolak speaker dan timbalannya walaupun didesak oleh MP Pakatan Rakyat.

Ditanya mengapa beliau tidak bertemu peneroka yang berhimpun semalam, Noor Ehsanuddin menganggap isu itu hanyalah "kecil dan tidak patut dipandang penting".

"Bukan saya takut nak bertemu. Cuma masalahnya (peneroka) yang dijemput itu penyokong dia (pembangkang). Kalau kerajaan nak kumpul 100,000 peneroka pun boleh.

Sambil menempelak pembangkang "cuba menangguk di air keruh", Noor Ehsanuddin menyeru warga Felda agar tidak terpengaruh dengan tindakan peneroka yang didakwanya penyokong pembangkang

Beliau turut membidas pembangkang yang didakwanya cuba memecahbelahkan permuafakatan antara Felda dan peneroka yang telah wujud sejak 50 tahun dulu.