Peguam: Pendakwaan ke atas Rayer ditunda
Kes tuduhan ke atas ADUN Seri Delima RSN Rayer ditunda ke satu hari lain yang akan ditetapkan kemudian.
Peguam Rayer, Gobind Singh Deo berkata beliau diberitahu oleh timbalan pendakwa raya bahawa Rayer tidak akan dituduh di mahkamah hari ini.
“Kita tidak tahu apa maknanya, tapi kita akan tunggu sehingga mendapat makluman lanjut dari DPP,” kata Gobind.
Seorang lagi peguam Rayer, Ramkarpal Singh berkata, pasukan pembelaan sudah melakukan tanggungjawab mereka har ini.
Rayer bersama pasukan peguamnya, termasuk Raveentharan, tiba di mahkamah pada jam 9.05 pagi, dengan diiringi beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat.
Gobind membuat pengumuman itu tidak alam selepas mereka memasuki ruang mahkamah.
Rayer ditahan semalam sebaik tiba di ibu pejabat polis daerah utara Pulau Pinang di Jalan Pattani, dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Beberapa anggota Unit Simpanan Persekutuan juga dilihat bersiap sedia di kawasan pintu masuk ke kompleks mahkamah Pulau Pinang di Lebuh Light.
Beberapa orang penyokong Umno yang memakai baju-T hitam juga berhimpun di salah satu pintu masuk kompleks mahkamah di Lebuh Farquhar.
Mereka tiba untuk menyokong 16 orang yang menceroboh masuk ke bangunan DUN pada 21 Mei dan akan didakwa di Mahkamah Majistret pada jam 11 pagi hari ini.

