Selepas demonstrasi peneroka Felda yang menuntut lesen persendirian dari Lembaga Minyak Sawit Berhad (MPOB) di Parlimen semalam, satu kumpulan mengadakan demonstrasi balas di tempat sama hari ini.

Hampir 1,000 peneroka dan warga Felda berkumpul di sepanjang Jalan Parlimen sejak jam 9.40 pagi menunjukkan sokongan mereka kepada Felda dan mengutuk kumpulan peneroka yang berdemonstrasi semalam.

Membawa sepanduk bertemakan 'Untuk Apa Lesen MPOB' dan 'Kami Menyokong Felda' kumpulan ini mendesak agar Ahli Parlimen tidak melayan tuntutan mendapat lesen persendirian itu kerana Felda membeli hasil peneroka secara adil.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim bertemu dengan wakil kumpulan itu dan akan mengadakan sidang media bersama selepas ini.

Mereka dibawa berpuluh bas yang memenuhi sepanjang Jalan Parlimen sebelum sebahagiannya masuk ke kawasa bangunan Parlimen dan menyuarakan sokongan kepada Felda dan BN.

Bagaimanapun menurut seorang pegawai parlimen, kehadiran mereka adalah untuk majlis ramah mesra bersama menteri yang menjaga hal ehwal Felda di lobi bangunan lama parlimen.

Semalam kira-kira 300 peneroka Felda dari Pahang dan Kelantan hadir ke Parlimen bagi mendapatkan perhatian ahli parlimen pembangkang untuk isu ini.

Bagaimanapun speaker Dewan menolak usul yang dibentangkan oleh MP Subang R Sivarasa atas alasan teknikal.

Sivarasa dan MP Pakatan lain berjanji akan membawa isu tersebut ke kawasan Felda di seluruh negara bagi mendapatkan sokongan.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Samsuddin Othman mengalu-alukan Pakatan untuk masuk ke kawasan Felda bagi berkempen.

"Kita tak boleh buat apa-apa jika mereka hendak masuk. Ini negara demokrasi.

"Hal semalam jadi satu kesedaran kepada peneroka. Mereka yang datang semalam itu peneroka memang dah sokong pembangkang.

"Jika lihat keputusan pilihanraya di kawasan Felda. Semua sokong siapa? Kita tak goyah. Kita tak takut mereka (Pakatan)," tegasnya dalam sidang media di Parlimen.

Sementara itu, Razali berkata warga Felda telahpun matang dan tidak mudah termakan penipuan.

Beliau turut mengalukan Pakatan untuk mendedahkan kepincangan Felda tetapi membidas fitnah yang dilontarkan.

"Warga Felda semua matang. Semua tahu. Saya nak pembangkang jangan hasut dan beri fakta tak betul.

"Dedahkan kepincangan tak apa tapi yang paling penting jangan hasut," katanya.