Sembilan warga asing dipercayai rakyat Indonesia dikhuatiri hilang manakala 18 lagi berjaya diselamatkan selepas bot pancung yang mereka naiki terbalik di Beacon Api Gila, perairan Sepang hari ini.

Kejadian ini berlaku dalam tempoh 24 jam selepas tragedi bot karam yang membawa 97 pendatang asing warga Indonesia di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey semalam.

    

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Klang Lt Komander Maritim Mohd Hambali Yaakup berkata mangsa yang berjaya diselamatkan terdiri daripada 14 lelaki dewasa dan empat wanita dewasa.

    

Beliau memberitahu sidang akhbar di Pelabuhan Klang berdasarkan maklumat awal, bot pancung yang membawa 27 orang itu bertolak dari Morib, Banting, pukul 3 pagi ini menuju ke Tanjung Balai, Indonesia.

    

"Pihak kami menerima maklumat mengenai kes ini daripada sistem radar pada pukul 10 pagi ini dan terus menghantar aset kami ke lokasi kejadian. Lapan belas mangsa itu diselamatkan tiga buah kapal dagang berhampiran," katanya.

Mohd Hambali berkata seorang mangsa yang berjaya diselamatkan dipercayai mengalami kecederaan dan pihaknya menggunakan khidmat helikopter untuk menghantarnya ke hospital.

    

Beliau berkata mangsa yang berjaya diselamatkan dibawa ke jeti APMM di Klang untuk tindakan lanjut.

    

Dalam kejadian bot karam di Pulau Carey semalam, 10 pendatang tanpa izin warga Indonesia ditemui lemas, 25 lagi masih hilang dan 62 mangsa berjaya diselamatkan setakat pukul 7 pagi ini.

    

-Bernama