MCA: Tukar agama anak, bukan Islam tak dilindungi
Jawapan kerajaan di Parlimen yang menyokong penukaran agama sepihak bagi kanak-kanak bawah umur bermakna tidak ada langsung sebarang perlindungan bagi ibu bapa bukan Islam, kata MCA.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Syariah MCA, Koo Chin Nam (kanan)
berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan membenarkan sama ada ibu atau bapa menukar agama anak mereka tanpa keizinan yang lain.
Tegasnya, kenyataan menteri itu tidak melindungi hak pasangan yang tidak menukar agama apabila anaknya 'diculik' oleh suami mualaf dan enggan mematuhi perintah mahkamah sivil sepertimana dalam kes S Deepa di Seremban dan M Indira Gandhi di Ipoh.
Sebaliknya, tegas Koo, kenyataan Jamil itu akan membuka pintu kepada mualaf untuk mengambil kesempatan daripada jabatan agama untuk mendapatkan kelebihan dalam memperolehi hak penjagaan anak-anak apabila berlaku perceraian.
Beliau berkata Jamil "tidak bijak" kerana membuat kenyataan seumpama itu berdasarkan "salah tafsir atau silap terjemahan" Perlembagaan.
Koo merujuk kepada bagaimana terjemahan Perlembagaan
Persekutuan di mana perkataan "ibu-bapa" telah menjadi "ibu atau bapa" dalam terjemahan Melayu.
Beliau berkata versi asal Perlembagaan Persekutuan yang dicetak sehingga tahun 1970 menyebut "parents" dalam Perkara 12(4) sebagai "ibu-bapa", tetapi ia secara misteri diubahsuai menjadi "ibu atau bapa" dalam edisi kemudiannya.
"Bagaimana 'ibu-bapa' bertukar kepada 'ibu atau bapa'? Pihak berkuasa perlu memperbetulkan kesilapan terjemahan ini," tegas Koh lagi.
Selain itu, katanya, Kamus Dewan (edisi 1989 ms 439) mentakrifkan "ibubapa" sebagai "emak dan ayah", yang dalam konteks pertukaran agama bermakna kedua-dua ibu dan bapa mempunyai hak yang sama untuk menentukan agama anak mereka.

