Bot karam korbankan 14 mangsa Mangsa tragedi bot karam di perairan Kuala Sungai Air Hitam Kuala Langat, Klang, Selasa lepas, kini mencatatkan kematian seramai 14 orang.

    

Sehingga kini, sejumlah mayat 11 lelaki dan tiga wanita ditemui dengan mangsa terbaru seorang lelaki dijumpai pada pukul 6.30 petang semalam berhampiran Pelabuhan Barat.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Klang  Lt Komander Maritim Mohd Hambali Yaakup berkata operasi yang turut melibatkan pasukan polis dan bomba itu masih diteruskan malam tadi.

    

Bot membawa 97 penumpang itu dipercayai berlepas dari Jeti Sungai Judah, Pulau Carey kira-kira 11 malam dan karam sejam kemudian.

    

Berikutan kejadian itu, sehingga kini seramai 63 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 20 lagi dilaporkan masih hilang.

    

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azman Abdul Razak berkata semua mangsa yang ditemui setakat ini dipercayai warga Indonesia dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

    

Tiada waris atau keluarga mangsa menuntut atau membuat pengecaman mayat setakat ini, katanya.

    

Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat 20 lagi mangsa telah diperluaskan kepada lima zon meliputi 25 batu nautika dan tertumpu di zon B iaitu dari Kuala Sungai Langat menghampiri Sungai Air Hitam.

Sementara itu, sejumlah 20 mangsa ditemui manakala tujuh lagi masih hilang dalam kejadian terbaru bot pancung yang membawa 27 warga Indonesia yang karam di Beacon Api Gila, perairan Sepang semalam.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Klang Leftenan Komander Maritim Mohd Hambali Yaakup berkata enam daripada mereka kini dirawat di Hospital Banting dan Sungai Buloh.

    

"Tiada mangsa lemas ditemui setakat ini, tujuh masih hilang, " katanya dalam sidang akhbar semalam.

    

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, bot pancung terbabit bertolak dari Morib, Banting pukul 3 pagi ini menuju ke Tanjung Balai, Indonesia.

    

Kejadian itu berlaku dalam tempoh 24 jam selepas tragedi bot karam yang membawa 97 pendatang warga Indonesia di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey

Sementara itu, Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Kedutaan Indonesia di Malaysia Herman Prayitno dalam sidang akhbar sama berkata pihaknya sudah menghubungi waris keluarga seorang mangsa kejadian bot karam di perairan Sungai Air Hitam.

    

Herman menasihati semua rakyat Indonesia yang tinggal di Malaysia supaya tidak menggunakan laluan haram untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi mengelak berlakunya sebarang tragedi.

- Bernama