2 gol Suarez benam Three Lions
Rata-rata England adalah pasukan yang mendapat sokongan ramai kaki bola negara ini.
Bukan saja mengenali kesebelasan utama, malah pemain baik yang tidak dipilih untuk kejohanan ini seperti Ashley Cole dan Tom Huddleston turut dikenali peminat.
Kekalahan skuad Roy Hodgson kepada Uruguay awal pagi ini - yang meletakkan sepenuhnya harapan ke atas penyerang yang bermain di England, Luis Suarez - bukanlah sesuatu yang pelik jika dilihat prestasi semasa pasukan The Three Lions.
Bahagian tengah Three Lions yang diterajui Kapten Steven Gerrard dan rakan sepasukannya dari Liverpool Jordan Henderson kurang kemas manakala barisan pertahanannya pula nampak kucar-kacir.
Joe Hart, penjaga gawang yang selalu nampak tenang di Manchester City, beberapa kali kelihatan cuak dan kelam kabut terutamanya apabila Suarez dan Edison Cavani hadir dalam kotak penaltinya.
Dari sudut serangan, Raheem Sterling, Daniel Sturridge dan Danny Wellbeck dilihat tidak efektif menembusi benteng pertahanan Uruguay pimpinan Diego Codin dan penjaga gol Fernando Muslera.
Hodgson yang tidak membuat pertukaran selepas tewas seolah-oleh mempercayai skuad yang dipenuhi pemain dari pasukan liga mampu membawa England mara ke peringkat seterusnya.
Rooney gigih
Hanya Wayne Rooney yang dilihat berjaya menebus persembahan longlai ketika menentang Uruguay awal pagi tadi.
Malah ketika skuad England nampak tersentak dengan jaringan menerusi tandukan cantik Suarez pada minit ke-39, hanya bintang Manchester United itu gigih berlari di seluruh pelusuk padang mengejar bola sementara tonggak lain tenggelam.
Gol beliau pada minit ke-75 juga adalah gol pertama Rooney dalam pentas Piala Dunia selepas 10 perlawanan sejak edisi 2004.
Usaha beliau nampak sia-sia apabila Gerrard menanduk bola ke belakang tepat kepada Suarez menyebabkan Twitter dan Facebook meledak dengan kutukan dan kesedihan dari peminat bola sepak seluruh dunia. Suarez jaringkan gol kedua pda minit ke-85.
Seperti kata seorang lelaki berusia di meja sebelah kami di kedai mamak pagi tadi, Liverpool 2 - England 1.
Bagaimanapun mengikut matematik, England masih mampu untuk layak ke pusingan kedua tetapi perlu berharap Itali menewaskan Costa Rica esok serta Uruguay dengan jaringan besar.
Bagaimanapun England turut perlu menewaskan Costa Rica yang sebelum ini membelasah Uruguay 3-0, dengan jaringan yang amat besar.
Jadi adakah terlalu awal kita mengucapkan selamat tinggal kepada England? Atau itu hanya angan-angan untuk menyedapkan hati sahaja.

