Seorang pengusaha dan pengurus kelab malam mati ditembak dalam satu kejadian di Jalan Permas 10, Permas Jaya, Johor Bahru awal hari ini.

    

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata dalam kejadian 2.15 pagi itu, lelaki berumur awal 40-an dan dikenali sebagai Kessu itu ditembak mati oleh suspek yang menaiki motosikal.

    

Katanya mangsa yang memandu Toyota Harrier berwarna putih berhenti di depan sebuah lori kecil penjaja untuk memesan makanan dan ketika itu dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal berhenti di belakang kenderaannya.

    

"Pembonceng motosikal terus meluru ke arah mangsa yang masih berada dalam kenderaannya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kepalanya dari jarak dekat menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," kata Sulaiman dalam satu kenyataan.

    

Beliau berkata motif pembunuhan masih disiasat.

    

Sulaiman berkata siasatan akan dijalankan dari segenap aspek termasuk latar belakang, penglibatannya dalam perniagaan serta masalah kewangan atau peribadi dan kemungkinan yang lain.

    

Bagi membantu siasatan, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian HotLine Ibu pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan di talian 07-2218 999.

Sementara itu, di Kedah, seorang lelaki maut setelah ditembak ketika sedang menunggang motosikal di Taman Songket, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani malam tadi

    

Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, M Gurubaran, 24, dari Taman Keladi, Sungai Petani maut di tempat kejadian selepas dipercayai terkena tiga das tembakan yang dilepaskan dua lelaki.

Mangsa dikatakan diekori empat lelaki yang menunggang dua motosikal sebelum beberapa tembakan dilepaskan ke arahnya sebaik mangsa memasuki kawasan perumahan tersebut.

    

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata kesan tembakan tersebut menyebabkan mangsa jatuh bersama motosikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Tembakan itu menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikal dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan. Dua suspek itu pula melarikan diri sebaik melepaskan tembakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

    

Katanya siasatan mendapati terdapat beberapa kesan tembakan di badan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan membunuh.

    

"Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes ini dan pihak polis sedang berusaha untuk mengesan mereka. Motif pembunuhan juga masih dalam siasatan," katanya.

    

Mohd Nashir berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.

    

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah akibat tembakan di bahagian kepala dan dada.

 

- Bernama