MAIS nafi sultan perkenan perhimpunan PERKASA
Sultan Selangor tidak pernah memberi perkenan kepada rancangan PERKASA untuk berhimpun di hadapan Istana Bukit Kayangan Isnin ini, kata Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata demikian merujuk kepada kenyataan Yang Dipertua PERKASA Selangor, Abu Bakar Yahya yang berkata beliau akan mengumpul di antara 3,000 sehingga 5,000 orang di hadapan istana tersebut selepas diperkenan Sultan.
"Tiada perkenan yang telah diberikan oleh DYMM Sultan Selangor. Oleh itu kenyataan pihak PERKASA adalah dinafikan," kata Mohamad Adzib dalam kenyataannya.
Abu Bakar sebelum ini dilapor berkata yang perhimpunan itu bertujuan menzahirkan sokongan kepada MAIS dan Sultan Selangor dalam pengendalian kes rampasan Bible berbahasa Melayu dari Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.
Adzib berkata, beliau ada menerima surat dari Abu Bakar pada 20 Jun lalu bagi memohon kebenaran untuk berhimpun di hadapan istana pada 23 Jun.
Menurutnya, surat itu tidak dapat disampaikan kepada Sultan kerana baginda berada di luar negara sejak 20 Jun.
Sebaliknya, Adzib berkata, terpulang kepada PERKASA untuk menggunakan budi bicara mereka untuk berhimpun.
"Dalam hubungan ini, pihak MAIS ingin menegaskan DYMM Sultan tidak pernah memberi perkenan kepada mana-mana pihak untuk mengadakan himpunan di mana-mana jua," katanya.

