Polis tahan ibu Muhammad Firdaus
Polis menahan reman ibu kepada seorang remaja kelainan upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dalam keadaan tidak terjaga pada hari Isnin lalu.
Laporan akhbar yang memetik kenyataan ketua polis daerah Nilai, Supt Abdullah Roning menyebut, ibu kepada remaja itu disiasat berikutan laporan yang dibuat kepada wanita berkenaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001, iaitu perbuatan berkaitan penganiayaan, pengabaian, kecuaian atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental atau emosi,” katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa Muhammad Firdaus, 15, kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban selepas ditemui dalam keadaan kurus kering dan berlumuran najis di sebuah rumah pangsa di Nilai, Isnin lalu.
Pihak hospital menjalankan siasatan sama ada terdapat unsur penderaan fizikal ke atas remaja yang mengalami cerebral palsy itu.
Remaja malang berkenaan diletakkan bawah jagaan Jabatan Kemajuan Masyarakat sehingga menunggu siasatan selesai, lapor akhbar itu lagi.
Ibu kepada remaja tersebut, 39, berjaya dikesan oleh pasukan sama yang menemui Muhammad Firdaus pada hari Isnin.

