Lukisan seni grafiti yang menghiasi tembok sepanjang Sungai Klang pastinya bukan sesuatu yang asing bagi semua orang yang melalui kawasan itu.

Ia juga sebagai satu daya tarikan bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan LRT RapidKL aliran Kelana Jaya berhampiran Stesen Pasar Seni.

Bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat yang menanggap hasil karya pelukis grafiti karya kotor atau mencemarkan pandangan.

Tidak kurang juga yang menanggap lukisan tersebut sebagai gejala vandalisme yang merosakkan imej kawasan yang dilukis.

Antaranya lukisan contengan beberapa kawasan di sekitar Pasar Seni yang dikatakan sarat dengan mesej yang bertentangan dengan budaya Malaysia terutamanya pada bahagian pintu kedai sehingga menimbulkan kemarahan pemilik kedai.

Begitu juga dinding-dinding kaki lima kedai serta di tempat kabel tenaga elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Lebih memburukkan keadaan, gejala vandalisme ini dikatakan mencemarkan imej negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 kepada pelancong asing yang berkunjung ke Kuala Lumpur.

Keadaan itu menyebabkan karya pelukis grafiti dianggap satu karya seni yang terpinggir.

'Nilai estetika'

Bagaimanapun, masih ada segelintir pihak mengagumi hasil karya pelukis grafiti kerana lukisan mereka kelihatan unik dan kreatif bahkan mempunyai nilai estetika tersendiri.

Kebanyakkan pelukis grafiti jalanan ini terdiri daripada anak muda yang menjadikan seni grafiti sebagai cara mereka meluahkan perasaan melalui lukisan-lukisan yang mereka hasilkan.

Timbalan Pengarah Pegawai Jabatan Perancang DBKL Fizikal Nik Mastura Nik Mohammad memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa sewaktu pentadbiran bekas datuk bandar Tan Sri Ahmad Fuad Ismail lukisan grafiti dibenarkan dalam satu acara pertandingan seni grafiti 2011 di ibu negara.

Bagaimanapun, katanya, selepas pentadbiran beralih kepada Datuk Bandar baru Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, lukisan itu dikuatkuasakan sebagai melanggar undang-undang kecil vandalisme Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1991) dibuat bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Datuk Bandar: Ini vandalisme

Sementara Ahmad Phesal pula berkata pihaknya tidak memberikan keizinan kepada artis grafiti untuk melukis di kawasan sekitar ibu kota sekalipun sedang berusaha menangani perkara itu.

Melalui projek “River For Life”, ia bertujuan meningkatkan kualiti dan paras air sungai, membersih, mengindah dan mengatasi masalah grafiti di kawasan Sungai Klang.

“(Kita) tidak benarkan mereka buat. DBKL setakat ni tidak ada tindakan pun, kita dalam proses nak buat balik. Ia vandalisme. (Ia) inspirasi anak muda seperti kamu.

"Generasi Y ni susah sikit, kerana mereka ini nak tonjolkan inspirasi mereka. Kita akan buat balik sungai ni, kita akan padam (lukisan grafiti itu).

"Anak-anak muda yang lukis gambar-gambar ni namun pihak DBKL akan padam, di sungai Klang kita sedang jalankan,” kata Ahmad Phesal ketika ditemui sewaktu pameran Greater KL dengan Invest KL di ibu negara baru-baru ini.


Laporan tambahan oleh Farah Noor Samat.