Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) akan mengadakan piket di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berikutan keputusan suruhanjaya itu untuk menutup landasan Gemas-Gua Musang.

Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan berkata penutupan laluan tersebut selama dua tahun akan "menzalimi" seramai 300 orang kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad, selain penumpang untuk laluan ke Pantai Timur.

“Tindakan ini menimbulkan implikasi kepada 300 orang pekerja KTMB di sektor berkenaan, malah melibatkan ratusan ribu penumpang yang menggunakan perkhidmatan keretapi, tindakan ini juga menjejaskan hasil KTMB sekurang-kurangnya RM100,000 sehari," kenyataannya dipetik.

Piket berkenan akan diadakan pada hari Jumaat, 26 Jun jam 5 petang.

Katanya, penutupan itu akan menyebabkan kakitangan dipindahkan ke depoh manakala para penumpang akan terjejas teruk semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri menjelang akhur Julai.

Perkhidmatan KTMB membawa kira-kira 500,000 penumpang menggunakan Ekspres Senandung Wau dan Senandung Timuran menggunakan rel sepanjang 322 kilometer dari Gemas ke Gua Musang.

Katanya, kesatuan itu turut menolak penjelasan SPAD bahawa laluan itu perlu ditutup untuk baikpulih, susulan kejadian keretapi tergelincir dari landasan pada 2012.

“Pihak kesatuan akur bahawa aspek keselamatan tidak boleh dikompromi... Namun tidak wajar sekiranya penutupan ini dilakukan kerana alternatif kepada operasi tren Gua Musang ke Gemas boleh digerakkan operasi," katanya.

Tak perlu tutup rel

Katanya, hanya sebahagian daripada sektor berkenaan perlu dinaiktaraf dan ia boleh dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Tambahnya, laluan itu boleh dihalang untuk tempoh tertentu bagi menjalankan baikpulih.

"Bagi lokasi yang dikenalpasti untuk dibaik pulih, maka jajaran tren boleh memperlahankan kelajuan ke had paling rendah iaitu sehabis perlahan.

"Sistem ini telah dilaksanakan dalam pembinaan landasan berkembar yang juga dari aspek keselamatan terjejas teruk," kenyataan itu dipetik.

Beliau turut mempersoalkan keputusan untuk menutup laluan tersebut pada masa sekarang kerana kejadian gerabak tergelincir itu berlaku pada tahun 2012.

Tambahnya, kerja-kerja baikpulih sudahpun dijalankan sejak tahun 1980-an tanpa memerlukan penutupan laluan.

Oleh sebab itu, Kementerian Pengangkutan perlu mengembalikan autonomi ke atas operasi tersebut ke atas KTMB tanpa perlu berunding dengan SPAD.

Kerajaan menyediakan RM400 juta untuk projek tersebut.