Hukuman Mesir pada wartawan cetus kemarahan dunia
Tindakan mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman penjara, sehingga sepuluh tahun, kepada wartawan Al Jazeera mencetuskan kemarahan antarabangsa yang menganggapnya sebagai “keputusan tidak adil”.
Keputusan itu dibimbangi meningkatnya kawalan media di negara umat Islam terbesar di rantau Timur Tengah itu, lapor Al Jazeera .
Australia menyatakan rasa terkejutnya manakala Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry menyifatkannya sebagai “hukuman zalim dan mengerikan”.
Rumah Putih turut dilaporkan menggesa presiden baru Mesir Abdel Fattah al-Sisi memberi pengampunan kepada wartawan terlibat.
Ketua hak asasi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata kewartawanan “bukan sebuah jenayah” dan mendesak Mesir segera membebaskan mereka yang dipenjarakan hanya kerana menjalankan tugas.
Australia terkejut dengan hukuman penjara tujuh tahun yang dikenakan ke atas rakyatnya yang juga wartawan Al Jazeera , Peter Greste oleh mahkamah di Mesir semalam atas tuduhan membantu Ikhwanul Muslimin.
“Kerajaan Australia terkejut mendengar keputusan mahkamah itu. Kami amat sedih dengan hukuman seberat itu,” menteri luar negara itu Julie Bishop dipetik sebagai berkata.
Selain Greste, rakannya yang keturunan Mesir-Kanada, Mohamaed Fadel Fahmy, juga dilapor dikenakan penjara tujuh tahun, sementara penerbit Baher Mohamed dikenakan dua hukuman - satu tujuh tahun dan satu lagi tiga tahun.
Mereka dituduh “menyebarkan maklumat palsu”. Ketiga-tiga mereka antara 20 defendan dalam perbicaraan.

