Pemilik tanah berketurunan Bidayuh di Kampung Nyegol, Kampung Sting dan Kampung Muk Ayun di Bengoh Atas, Padawan, berhampiran Kuching, menang dalam perbicaraan terhadap kerajaan negeri Sarawak bagi menuntut 8,594 hektar tanah adat mereka.

Mahkamah Tinggi Kuching mengembalikan tanah itu kepada penduduk selepas pegawai undang-undang kerajaan memberitahu mahkamah bahawa kerajaan negeri tidak akan meneruskan rancangan membina empangan Taman Negara Bengoh dan tambahan Taman Negara Banjaran Bungo.

Kedua-dua kawasan tersebut meliputi tanah masing-masing seluas 5,022 hektar dan 3,572 hektar.

"Memandangkan mereka baru sahaja meraikan pesta mereka, kemenangan ini boleh diibaratkan sebagai hadiah Hari Gawai kepada penduduk kampung.

"Mereka berhak sepenuhnya untuk menyambut kemenangan ini," kata peguam See Chee How ( kiri ) yang mewakili mereka.

Mengulas kes tersebut, See berkata Mahkamah Tinggi di Kuching kini membenarkan penduduk Bidayuh di tiga kampung itu untuk mengekalkan warisan nenek moyang mereka serta hak mereka ke atas tanah adat di Bengih Atas, Padawan.

Menurutnya, keputusan itu juga menyaksikan penduduk tiga kampung berkenaan menarik semula permohonan semakan kehakiman mereka untuk mengenepikan keputusan kerajaan negeri berhubung tanah itu sebelum ini.

[Baca berita penuh]