Portal disekat hadiri acara Najib
Portal bisnes KiniBiz dihalang menghadiri majlis pembukaan Terminal Bebas Pengerang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Johor Khamis ini.
"Kami menerima arahan saat-saat terakhir dari Pejabat PM dan meminta maaf di atas sebarang kesulitan," kata seorang jurucakap syarikat perhubungan awam, Mint Media kepada KiniBiz lewat petang semalam.
KiniBiz
menerima jemputan rasmi dari penganjur minggu lalu dan telah mengesahkan kedatangan untuk acara itu.
Jurucakap itu turut menjelaskan jemputan untuk portal atas talian lain seperti The Malaysian Insider, Malaysiakini, seorang penulis blog berbangsa Cina dan akhbar Cina Oriental Daily turut ditarik balik.
Hari ini KiniBiz menerima panggilan telefon dari penganjur, Dialog Group menjelaskan mereka mengambil keputusan menghadkan jemputan media pada saat terakhir kerana sekatan logistik.
Ketika ditanya, Dialog tidak mengesahkan atau menolak mereka bertindak atas arahan pejabat PM tetapi hanya menyatakan bahawa portal atas talian dilarang menghadiri acara itu.
Terminal Bebas Pengerang ialah hasil usahasama antara syarikat minyak dan gas tempatan, Dialog Group, Royal Vopak daripada Belanda dan kerajaan Johor.
Terminal dan pusat penyimpanan petroleum laut dalam bebas bernilai RM 5 bilion itu sedang dibina secara berperingkat meliputi kawasan tebusan pantai seluas 500 ekar di Tanjung Ayam dan Tanjung Kapal di Pengerang.
Najib dijadualkan untuk melancarkan fasa 1 pembangunan yang telah dimulakan pembinaan.

