Persatuan Bible Malaysia (BSM) menafikan bahawa mereka akan menganjurkan perarakan bagi membantah usaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk melupuskan naskhah Bible yang dirampas dari persatuan itu.

Setiausaha agungnya Simon Wong berkata, poster yang dikesan untuk mempromosi bantahan aman itu adalah palsu dan berniat jahat.

Wong berkata, beliau mengetahui mengenai kewujudan poster tersebut selepas menerima beberapa panggilan telefon hari ini.

Tegasnya, BSM tiada kena mengena dengan perarakan aman yang didakwa akan berlangsung itu.

“Kita tidak tahu mengenai perarakan aman, ini adalah tipu helah yang dibuat tanpa pengetahuan kami," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Poster yang dikesan berlegar di Internet itu mempromosi acara pada 29 Jun tersebut sebagai “Himpunan Bible" yang dianjurkan oleh BSM.

Perarakan itu didakwa akan diadakan dari satu tempat dinamakan Gospel Hall ke Dataran Merdeka.

Ia dipercayai timbul susulan keputusan MAIS yang bertegas untuk tidak memulangkan semula naskhah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban yang dirampas dari BSM.

[Berita penuh menyusul]