Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang menyelamatkan 38 orang gelandangan termasuk seorang wanita dalam 'Ops Pengemis dan Kutu Rayau' di sekitar pusat bandar George Town awal hari ini.

Operasi bersepadu yang disertai lebih 50 anggota itu turut melibatkan agensi lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen, polis, Rela dan Jabatan Pendaftaran negeri.

Timbalan Pengarah JKM negeri Mohammad Hazam Ismail berkata operasi tiga jam berakhir pukul 1 pagi itu melibatkan kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Jalan Penang, Padang Kota Lama dan sekitar Jeti Pulau Pinang.

"Kesemua gelandangan berusia antara 30-an dan 60-an itu dibawa ke Asrama Akhlak Paya Terubong untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau berkata JKM kini giat mengumpul data orang gelandangan dan menyiasat rekod lampau golongan itu untuk membantu mereka mendapat pekerjaan atau tempat di rumah perlindungan.

Mohammad Hazam berkata gelandangan berulang yang melebihi amaran kedua akan dirujuk ke institusi di bawah seliaan JKM mengikut peruntukan Akta Orang Papa 1977.

Beliau berkata operasi akan diperhebat sepanjang Ramadan ini berikutan kebanjiran gelandangan bermusim termasuk dari luar Pulau Pinang yang sanggup 'berkampung' di sekitar masjid dan kawasan tumpuan pelancong untuk mengambil kesempatan daripada umat Islam yang mahu meningkatkan amal kebajikan.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya memberi sumbangan mengikut saluran yang betul bagi mengelak diambil kesempatan oleh individu tertentu sekali gus membantu kerajaan membasmi kegiatan mengemis di negeri ini.

- Bernama