Baru-baru ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan penemuan adik Muhammad Firdaus Dullah, 15, oleh pasukan yang sedang melakukan operasi pendatang asing tanpa izin pada awal pagi 21 Jun 2014 di rumah Pangsa Taman Semarak Nilai.

Penemuan adik Firdaus yang sangat tragik di dalam rumah tersebut telah mendapat banyak reaksi dari pengamal media sehingga mereka lupa etika yang wajar diamalkan ketika membuat sesuatu laporan.

Gambar dan juga video adik Firdaus ditayangkan secara semberono tanpa ditutup pada bahagian tertentu semata-mata untuk memastikan laporan yang disampaikan adalah sensasi dan mendapat rating yang tinggi.

Kami memandang berat perkara tersebut kerana telah melakukan satu perbuatan yang secara jelas telah bertentangan dengan Seksyen 15 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang telah menyatakan dan memberikan perlindungan kepada identiti kanak-kanak seperti berikut:

Sekatan ke atas laporan dan penyiaran media

 15. (1) Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa laporan media massa mengenai:

 a) apa-apa langkah yang diambil terhadap seseorang kanak-kanak yang terlibat atau berupa sebagai terlibat dalam apa-apa perbuatan atau peninggalan jenayah, sama ada langkah-langkah itu pada peringkat sebelum perbicaraan, perbicaraan atau selepas perbicaraan

(b) mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya jagaan diambil di bawah Bahagian V;

(c) mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual Pertama telah atau disyaki telah dilakukan; atau

(d) mana-mana prosiding di bawah Bahagian VI,

tidak boleh mendedahkan nama, alamat atau institusi pendidikan, atau memasukkan apa-apa butir yang direncanakan untuk membolehkan dikenal pasti mana-mana kanak-kanak yang terlibat sedemikian sama ada sebagai orang yang terhadapnya atau yang berkenaan dengannya tindakan sedang diambil atau sebagai seorang saksi dalam tindakan itu.”

Kami mengingatkan kembali pengamal media agar tidak ghairah dalam melaporkan sesuatu berita sehingga melanggar peruntukan undang-undang yang jelas memberikan perlindungan terhadap identiti kanak-kanak tersebut.

Kami menyeru pihak berkuasa agar mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pengamal media yang jelas telah melanggar Seksyen 15(1) Akta Kanak-Kanak 2001 agar peristiwa yang sama tidak berulang kembali.

Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada pengamal media kerana kita tidak mahu menjadi seperti harapkan pagar, pagar makan padi.


Maszlee Malik ialah penasihat Pusat Pendidikan Kanak-kanak Down Syndrome (Orkids) manakala Auzan Sazali merupakan seorang peguam.