Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri akan meneruskan pemberian Dana Raya untuk rakyatnya sempena Aidilfitri tahun ini.Beliau menganggarkan peruntukan untuk bantuan itu juga meningkat kepada RM40 juta berbanding RM35 juta tahun lepas.

    

Beliau menganggarkan peruntukan untuk bantuan itu juga meningkat kepada RM40 juta berbanding RM35 juta tahun lepas.

    

Jumlah yang layak menerima bantuan ini belum diketahui kerana proses pendaftaran baru bermula, katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, dekat Dungun hari ini.

    

Katanya bantuan dijangka dapat diagih bermula pertengahan Ramadan ini.

    

Bagi yang pernah menerima bantuan itu mereka tidak perlu mengisi semula borang pendaftaran namun bagi yang baharu mereka perlu berbuat demikian menggunakan borang yang diperoleh daripada pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung masing-masing, katanya.

    

Bantuan raya itu yang berjumlah antara RM200 dan RM300 diagih kepada keluarga miskin, ibu dan bapa tunggal serta orang kurang upaya.

    

Menurut Ahmad Razif kerajaan negeri juga akan meneruskan dana raya untuk remaja yang dijangka memberi manfaat kepada 70,000 remaja membabitkan peruntukan keseluruhan RM14 juta.

Sementara itu, dalam ucapan sempena majlis jamuan rakyat di Padang Awam Bukit Besi di Dungun hari ini, Ahmad Razif meluluskan pembinaan sebuah masjid baru di Kampung Jongok Batu sebagai hadiah pertamanya kepada penduduk Hulu Dungun selepas lebih sebulan dilantik menjadi menteri besar Terengganu.

    

Beliau berkata pembinaan masjid baru itu akan menggantikan masjid lama yang telah usang, dan dijangka dapat menampung kira-kira 400 jemaah.

    

"Saya bersetuju untuk meluluskan pembinaan sebuah masjid baru di Kampung Jongok Batu dan saya minta kepada ADUN Bukit Besi, Roslee Daud untuk berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri, Ir Rosli Othman untuk pembinaan masjid ini.

    

"Masjid ini akan dibina dengan rekabentuknya yang fleksibel... bila jemaah kurang, masjid ini boleh dikecilkan dan jika jemaah ramai, ia boleh dibesarkan kerana kita tidak mahu adanya pembaziran terutamanya dari segi penggunaan eletrik," katanya.

    

Masjid itu juga akan dilengkapi pendingin hawa bagi keselesaan jemaah.

Sementara itu, setiausaha Masjid Kampung Jongok Batu Baharuddin Muda berkata pengumuman menteri besar merupakan berita gembira yang dinanti-nantikan penduduk Hulu Dungun terutamanya kampung itu.

Menurutnya masjid sedia ada sudah usang dengan diperbuat daripada kayu  serta hanya dapat menampung 100 jemaah bagi setiap masa.

    

"Pada waktu solat Jumaat, ada jemaah yang terpaksa bersolat di ruang luar masjid. Kampung ini juga paling dekat dengan tempat perkelahan Air Terjun Chemerong.

    

"Bila hujung minggu, ramai orang ke sana dan adakalanya kem pelajar sekolah di sana, jadi mereka datang untuk solat di sini. Saya sangat-sangat berterima kasih atas keprihatinan menteri besar membina masjid ini," katanya.

    

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, beliau juga akan melihat dan menilai kembali projek-projek yang boleh dijalankan untuk membangunkan sekitar kawasan Hulu Dungun termasuk projek pertanian di kawasan Lay Bay Bukit Besi selain membangunkan Bukit Besi sebagai kawasan pelancongan berikuta ia pernah menjadi kawasan pengeluaran bijih besi.

 

- Bernama