Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM turut persoal projek sekolah Singai lewat

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut tertanya-tanya kenapa cadangan pembinaan sekolah menengah Singai RM45 juta, tertangguh, sedangkan projek itu diluluskan di bawah rancangan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10.

    

Muhyiddin yang juga menteri pendidikan berkata beliau akan merujuk kepada pihak kementerian dan Jabatan Pendidikan mengenai punca kelewatan projek itu.

    

Beliau menjawab perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Tasik Biru Datuk Peter Nansian dalam ucapan beliau di jamuan Karnival Gawai Dayak Redeems di Pusat Redeems di Bau (Sarawak) malam tadi.

    

Jamuan itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Muhyiddin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan isteri Puan Sri Jamilah Anu.

    

Nansian turut menarik perhatian bahawa pembinaan dewan serbaguna sekolah itu dibatalkan daripada perancangan. Bagaimanapun Muhyididn memberi jaminan

kemudahan itu akan dimasukkan semula dalam pelan pembinaan.

    

Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mohd Puad Zarkashi ketika itu melancarkan tapak pembinaan sekolah berkenaan berhampiran Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (Redeems), Kampung Apar, Singai pada 15 April 2011.

    

Dalam ucapannya Nansian berkata selain cadangan pembinaan SMK Singai, daerah itu juga memerlukan sebuah lagi sekolah menengah dan sekolah vokasional untuk menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah.

    

Terhadap permintaan itu, Muhyiddin berkata sebuah sekolah vokasional akan dibina di daerah itu dalam rancangan Malaysia ke-11 selaras dengan rancangan kerajaan untuk menambah jumlah sekolah vokasional dan kolej di seluruh negara.

    

"Saya harap kerajaan akan membantu dalam menyediakan tapak yang sesuai," katanya.

    

Terdahulu Nansian menyatakan penghargaan kepada kerajaan yang berjanji akan membantu menambah RM2 juta bagi membiayai pembinaan pusat kebudayaan Redeems berharga RM8.5 juta.

    

Adenan turut berjanji memberikan peruntukan daripada kerajaan negeri.

    

Dalam ucapannya Adenan memuji komuniti Bidayuh kerana bersikap proaktif dalam memulihara kebudayan dan warisan masyarakat itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS