Pembinaan Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) penting kerana ia salah satu jajaran bersama lima lebuh raya baru dan 23 lebuhraya sedia ada dalam rangkaian bersepadu sistem trafik Selangor, kata menteri besar Selangor.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telahpun mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) untuk membuat kajian pembinaan enam lebuh raya berikut dan merangka satu sistem pengangkutan awam bagi Selangor.

Selain Kidex, lima lagi lebuh raya baru yang dirancang ialah Sungai Besi-Ulu Klang Expressway (SUKE), Serdang Kinrara Putrajaya Expressway (SKIP), Eastern Klang Valley Expressway (EKVE), Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Pantai Barat (LPB).

Khalid berkata, Kidex sepatutnya merupakan penyelesaian kepada Lebuhraya Damansara-Puchong dan Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE) yang turut dirancang Lembaga Lebuhraya  Malaysia (LLM) untuk disambung kepada SKIP.

"Kalau satu tak dibina satu lagi tak jadi," katanya merujuk kepada kesinambungan jajaran jalan raya yang saling berhubungkait, dalam satu sidang media hari ini.

Bagaimanapun Khalid menegaskan kelulusan hanya diberi secara dasar dan pengambilan tanah dan permit tidak akan dibolehkan sekiranya terma dan syarat seperti Laporan Penilaian Alam Sekitar, Laporan Penilaian Lalulintas dab Laporan Penilaian Kesan Sosial tidak diberi dan diterima pihak berkuasa negeri.

Dalam sidang media itu juga, exco kerajaan negeri turut mendedahkan laporan minit mesyuarat mereka pada Februari 2012 yang meluluskan pelaksanaan projek lebuh raya itu.

Ia ekoran permintaan seorang penduduk Petaling Jaya, Chia Gek Suan yang memohon dokumen kelulusan itu menerusi Enakmen Kebebasan Maklumat pada 4 Jun lalu.

Lulus bersyarat

Exco Dr Ahmad Yunus Hairi yang membaca minit mesyuarat tersebut dalam sidang media itu berkata bahawa kelulusan Kidex diberikan secara dasar dan bersyarat.

Menurut minit tersebut kerajaan negeri bersetuju secara dasarnya dengan cadangan projek Kidex dan jajarannya tetapi berpendirian:

  • Penswastaan hendaklah meletakkan keutamaan atau kepentingan rakyat Selangor.
  • Kos hendaklah dibuat secara terbuka dan tidak diswastakan.
  • Kos juga perlu mengambil kira 'international risk and return reward' (ganjaran pulangan dan risiko antarabangsa).
Menurut minit itu lagi, exco meletakkan kaveat untuk meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan dan memasukkan ke dalam perjanjian konsesi sebuah klausa penamatan awal bagi memastikan pihak konsesi tidak mendapat keuntungan melampau.

"Dalam klausa ini sekiranya pemegang konsesi mencapai jangkaan keuntungan lebih awal sebelum tamat tempoh konsesi maka perjanjian konsesi ditamatkan lebih awal," kata Khalid ketika diminta menjelaskan klausa tersebut.

"Ini lebuh raya pertama yang ada perjanjian ini," tambah beliau yang juga ADUN Pelabuhan Klang.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) akan memberikan taklimat kepada penduduk berhubung cadangan Kidex.