Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan Selangor sedang menunggu jawapan dari pejabat peguam negara (AG) untuk penyelesaian isu Bible yang dirampas pihak berkuasa agama negeri itu.

Beliau berkata sebaik menerima jawapan dari AG pelaksanaannya akan dijalankan secepat mungkin.

"Dalam isu Bible berbahasa Melayu, ia masih dalam proses pelaksanaan dan kita tunggu laporan dari pihak peguam negara.

"Selepas dapat jawapannya kita akan laksanakan dengan secepat mungkin," kata Khalid dalam satu sidang media hari ini.

Pada 2 Januari lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 321 Bible bahasa Melayu dan Iban dari Persatuan Bible Malaysia (BSM).

AG sebelum ini membuat keputusan menutup kes itu dan tidak membuat sebarang pendakwaan.

Khalid kemudiannya mengarahkan exconya bekerjasama dengan JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memulangkan Bible itu namun tidak diterima oleh kedua-dua badan agama negeri itu.

Sultan Selangor kemudian bertitah bahawa keputusan sama ada melupuskan atau memulangkan haruslah dibuat oleh pihak AG dan mahkamah.

Sementara itu, Khalid menafikan 321 Bible yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) sudah dilupuskan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata, kitab itu masih ada di bawah jagaan dan pemantauan JAIS dan tidak pernah diserahkan kepada pihak Peguam Negara.

"Dimusnahkan? Tidak ada. Jangan buat spekulasi buruk," katanya.