Suspek lari kereta bersama 2 kanak-kanak ditahan
Polis menahan seorang pelajar tingkatan lima yang disyaki terbabit dalam kejadian melarikan sebuah kereta bersama dua kanak-kanak di Taman Perindustrian Puchong, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata, lelaki itu ditahan dalam sebuah rumah teres, Jalan 4/4B, Taman Puchong Perdana, kira-kira pukul 2.15 pagi semalam.
Katanya, bertindak atas maklumat orang awam polis menahan lelaki yang tinggal berseorangan dalam rumah itu.
"Di rumah suspek, kami menemui sepasang baju sekolah menengah (lelaki), sebilah pisau pemotong kertas warna merah jambu, sebuah beg sekolah berwarna hitam, sebuah beg silang berwarna coklat, wang tunai berjumlah RM117 serta sebuah dompet berwarna hitam," katanya kepada Bernama.
Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Dalam kejadian Isnin pagi itu, seorang wanita kakitangan sekolah agama cemas apabila dua anaknya yang berada dalam kereta miliknya dilarikan seorang remaja berpakaian seragam sekolah menengah, di Puchong.
Ketika kejadian, wanita itu meninggalkan dua anaknya dalam kereta dengan enjin yang masih hidup kerana menghantar dua anak yang lain ke rumah pengasuh.
Bagaimanapun, kedua-dua anak yang dilarikan itu ditemui seorang lelaki di tepi jalan dan menyerahkan semula kepada ibunya di tempat kerja wanita itu di Sekolah Agama Kafa Integrasi Madrasatul Ikhwan, Taman Puchong Perdana.
Kereta jenis Proton Gen 2 milik wanita itu kemudiannya ditemui semula oleh orang awam di kawasan berhampiran tempat kejadian di Puchong pada kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
- Bernama

